Wednesday, 10 December 2014

Kata Aluan Pengetua

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih saya rakamkan kepada mereka yang terlibat samada secara langsung mahupun secara tidak langsung di dalam usaha penyediaan medium interaksi ini, yang memungkinkan interaksi dua hala antara pihak pengurusan kolej kediaman dan semua pelajar yang berada di kolej kediaman.

Umum mengetahui bahawa, penyebaran maklumat yang tepat adalah amat penting bagi memastikan kelancaran pengurusan bagi sesuatu organisasi. Menguruskan Kolej Kediaman Kampus Jeli Ini, yang terdiri daripada 3 entiti besar merangkumi Blok A, Blok B dan IBS yang melibatkan bilangan pelajar melebihi 2,000 orang adalah merupakan suatu cabaran yang besar. Untuk itu, dengan adanya ruang interaksi dua hala ini, adalah diharapkan agar segala permasalahan pelajar akan dapat disalurkan kepada pihak pengurusan kolej, seterusnya tindakan pembetulan atau penambahbaikan akan dapat diambil oleh pihak kolej selaras dengan permasalahan sebenar yang dihadapi oleh pelajar. Pada masa yang sama, segala aktiviti mahupun pemberitahuan berkaitan dengan polisi dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan kolej juga akan dapat disebarluaskan kepada semua pelajar.

Dasar Kementerian Pelajaran yang terkini, yang ingin menjadikan kolej kediaman sebagai tempat pembelajaran kedua, menjanjikan pewujudan prasanara yang cukup selesa kepada semua pelajar yang menginap di kolej kediaman. Walaubagaimanapun, kita di Kampus Jeli ini masih bergelut dengan bilangan bilik yang amat terhad, dalam keadaan tiadanya sokongan persekitaran perumahan di luar kampus yang selesa, menyebabkan pihak pengurusan sedaya upaya berusaha untuk menyediakan bilik-bilik kepada semua pelajar tanpa sempat untuk memikirkan perihal kemudahan untuk aktiviti pembelajaran lainnya di kolej kediaman. Namun begitu, adalah menjadi hasrat pihak pengurusan kolej kediaman untuk menyediakan segala yang sepatutnya ada kepada pelajar dan usaha kearah itu tidak pernah berhenti.

Adalah menjadi harapan dan impian saya untuk melihat pelajar-pelajar yang tinggal di kolej kediaman dapat menginap dengan selesa tanpa menghadapi sebarang masalah . Untuk itu, saya dan pihak pengurusan kolej kediaman akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan segala permasalahan yang dibangkitkan oleh pelajar setakat mana yang termampu kami lakukan. Seterusnya, marilah kita sama-sama berganding bahu bagi menjadikan kolej kediaman Kampus Jeli ini sebagai sebuah kolej kediaman yang harmoni dan selesa dihuni,  bersih dan boleh kita bangga banggakan.

Wassalam.

Sekian, Terima kasih.

Sarizam Bin Mamat
Pengetua
Kolej Kediaman Kampus Jeli

No comments:

Post a Comment