Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Sekalung penghargaan dan ucapan
terima kasih saya rakamkan kepada mereka yang terlibat samada secara langsung
mahupun secara tidak langsung di dalam usaha penyediaan medium interaksi ini,
yang memungkinkan interaksi dua hala antara pihak pengurusan kolej kediaman dan
semua pelajar yang berada di kolej kediaman.
Umum mengetahui bahawa, penyebaran
maklumat yang tepat adalah amat penting bagi memastikan kelancaran pengurusan
bagi sesuatu organisasi. Menguruskan Kolej Kediaman Kampus Jeli Ini, yang
terdiri daripada 3 entiti besar merangkumi Blok A, Blok B dan IBS yang melibatkan
bilangan pelajar melebihi 2,000 orang adalah merupakan suatu cabaran yang
besar. Untuk itu, dengan adanya ruang interaksi dua hala ini, adalah diharapkan
agar segala permasalahan pelajar akan dapat disalurkan kepada pihak pengurusan
kolej, seterusnya tindakan pembetulan atau penambahbaikan akan dapat diambil
oleh pihak kolej selaras dengan permasalahan sebenar yang dihadapi oleh pelajar.
Pada masa yang sama, segala aktiviti mahupun pemberitahuan berkaitan dengan
polisi dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan kolej juga akan
dapat disebarluaskan kepada semua pelajar.
Dasar Kementerian Pelajaran yang
terkini, yang ingin menjadikan kolej kediaman sebagai tempat pembelajaran
kedua, menjanjikan pewujudan prasanara yang cukup selesa kepada semua pelajar
yang menginap di kolej kediaman. Walaubagaimanapun, kita di Kampus Jeli ini
masih bergelut dengan bilangan bilik yang amat terhad, dalam keadaan tiadanya
sokongan persekitaran perumahan di luar kampus yang selesa, menyebabkan pihak
pengurusan sedaya upaya berusaha untuk menyediakan bilik-bilik kepada semua
pelajar tanpa sempat untuk memikirkan perihal kemudahan untuk aktiviti
pembelajaran lainnya di kolej kediaman. Namun begitu, adalah menjadi hasrat
pihak pengurusan kolej kediaman untuk menyediakan segala yang sepatutnya ada
kepada pelajar dan usaha kearah itu tidak pernah berhenti.
Adalah menjadi harapan dan impian
saya untuk melihat pelajar-pelajar yang tinggal di kolej kediaman dapat
menginap dengan selesa tanpa menghadapi sebarang masalah . Untuk itu, saya dan
pihak pengurusan kolej kediaman akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan
segala permasalahan yang dibangkitkan oleh pelajar setakat mana yang termampu
kami lakukan. Seterusnya, marilah kita sama-sama berganding bahu bagi
menjadikan kolej kediaman Kampus Jeli ini sebagai sebuah kolej kediaman yang
harmoni dan selesa dihuni, bersih dan
boleh kita bangga banggakan.
Wassalam.
Sekian, Terima kasih.
Sarizam Bin Mamat
Pengetua
Kolej Kediaman Kampus Jeli